Penulis Sempurna

"Sesungguhnya kamu tetap melalui beberapa keadaan yang bertingkat-tingkat baik buruknya, (sebelum kamu menemui Tuhan - menerima kesenangan dan kebahagiaan atau sebaliknya)" -Al Inshiqaq ayat 19

Rindu menulis lagi. Kata-kata yang berlegar di kepala tiada berhenti, berlari mencari pintu penjara hati dan memujuk aku membebaskan rasa yang sarat memenuhi.
Dari sisa bahagia yang berbaki, aku susun kembali bait tulisan yang disorok sunyi. Kerana aku sudah dengan timbunan buku kekecewaan dan pena berdakwat kesedihan. Aku sudah mengarang ratapan.
Menulis lagi. Dan ini adalah baris tulisan bahagia, yang bersungguh aku cari dari celah barisan kecewa, yang tidak mungkin dapat aku tulis lebih sempurna. Bahagia, sabar mengajar aku memahami nikmat pengajaranNya dari cerita-cerita yang bertajuk kecewa, kerana tajuk bukanlah kisah penuh sebuah cerita. Yang tersirat meyakinkan aku terus membaca, mensyukuri nikmat kurniaan pencipta yang menulis penuh sempurna.

"Katakanlah (wahai Muhammad s.a.w) : "Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun kami tambahi lagi dengan lautan sebanding dengannya, sebagai bantuan"." -Al Kahf ayat 109.

Menyapa baumu

Wajah tenang ketika melihat senyum kau itu, adalah topeng jiwa aku yang sedang berkecamuk. Debar aku berdegup laju. Dan masih walau kau sudah berlalu. Kerana cantiknya kau itu, cuma membenarkan aku menyapa baumu.

Hitam

Tulisan yang tidak kesampaian itu, menghentikan imaginasi aku. Betapa realiti menghukum minda aku supaya tidak terus menerawang, bermimpi tentang kau dan siang serta jalur pelangi. Kerana hidup aku cuma pada malam, ketika hitam menelan tujuh jalur indah berwarna-warni.

Sebelum tidur malam itu...

Resah yang ditenangkan emak tidak menidurkan. Dan ketika cahaya mentol lampu tidur berwarna merah yang dipasang ayah menerangi ruang tamu, kematian membayangi aku.
Tercelik mata, mengangankan aku berjalan menuju pengebumian, sedang jasad aku yang di dalam keranda, berkafan. Aku terbayangkan aku meneman aku berjalan menuju taman terakhir berhias nisan. Tempat penyinggahan menjawab soalan kehidupan sebelum sebuah kebenaran kehidupan.
Persoalan berganjaran dan sarat hukuman.
Betapa ketakutan meneruskan sebuah lagi kehidupan tanpa kematian memaksa aku menjerit lagi memanggil emak.
Kerana kehidupan ini terlalu ingin dilupakan. Apakah kehidupan aku satu lagi bakal ditulis kebahagiaan atau bakal satu lagi tulisan keperitan?
Aku yang memegang realiti tentang yang tak termiliki dan yang dimiliki namun tidak abadi mengusung resah hati sendiri.
Resah mengunjungi aku saban hari, memujuk aku meredhai betapa cerita aku milik Dia, memanggil otak aku yang kadang terlalu jauh berlari untuk berpatah kembali, menampar aku untuk sedar betapa hiasan terzahir pada mata cuma hiburan dan permainan pinjaman.
Resah terus setia berbisik ke telinga aku supaya tidak leka membekalkan amalan yang setiap butir bakal dikira Tuhan.
Dewasa ini, aku memimpin ketakutan berjalan di sisi. Sendiri. Emak tidak lagi aku panggil tatkala resah mengunjungi.

Remuk Renyuk

Tulisan aku adalah dari buku-buku yang bertimbun menghempap jiwa, kata-kata yang lebih diam dari bicara. Kadangkala aku terbeban, buku-buku yang banyaknya berupa tajuk dan cerita yang ingin aku padam tak pernah hilang.
Aku masih menyelak helaian-helaian kertas yang penuh dengan tulisan yang bernoktah kekecewaan, membaca untuk mencari kesempurnaan cerita Tuhan. Tulisan kecewa pada kertas yang tak mampu aku renyukkan, biarpun remuk hati aku setiap kali aku baca apa yang dituliskan.
Aku sedar, cerita aku tentang diri sendiri cumalah tulisan kosong pada kau, namun pada aku, tulisan aku adalah harapan yang memekik sejuta rasa walaupun cuma pada dinding polos.
Tetap, aku masih mahu menjerit, cuba melapang sesak jiwa.

Kudung

Lazimnya, kekecewaan yang memaksa aku menulis. Kerana untuk aku bicarakan pada insan tentang kekecewaan itu ibarat aku mengadu domba cerita sempurna Tuhan. Sedang yang sudah tertulis itu kesempurnaan untuk aku yang sesat berjalan.
Lalu, untuk tulisan-tulisan yang berbaur kekecewaan itu sebenarnya aku tulis sebagai cebis memori. Dari cerita aku hingga ke cerita insan mahupun cerita yang tak kesampaian, aku tulis meraikan kecewa yang tak mampu dibicarakan. Cebis-cebis memori ini akan abadi selagi belum tamat cerita aku di sini. Cerita yang akan menghuni jiwa aku bila teringat wajah kau lagi.
Dan sesudah tamat nanti, cerita sempurna dari Tuhan tentang kekecewaan harapnya berganjaran satu lagi cerita penuh kebahagiaan. Cerita tentang keabadian kehidupan. Aku yang sedang hidup ini menerima kekecewaan jawapan kerana kebahagiaan kehidupan yang telah dijanji Tuhan. Janji Tuhan itu benar untuk mereka yang benar berjalan. Dan aku yang kudung, benar-benar mahu berjalan.

Menulis Lagi

Kebelakangan ini, aku cuma sibuk mencari sebab untuk menulis lagi. Liuk-lentuk jari masih aku kepal genggam untuk terus diam dari khayal menari dalam pelukan perasaan.
Kerana untuk menulis lagi, aku akan sibuk mencari perasaan aku sendiri yang aku sorok dari fikiran aku yang bersimpang-siur. Aku gusar sesat memilih jalan fikiran sendiri.

"Dan penyair-penyair itu diikuti oleh orang-orang yang sesat.

Tidakkah kamu melihat bahwasanya mereka mengembara di tiap-tiap lembah,

dan bahwasanya mereka suka mengatakan apa yang mereka sendiri tidak mengerjakan(nya)?"
*Asy-Syu'araa' (Para Penyair) (224-226)

Apabila setiap tulisan aku yang berdakwatkan perasaan itu kau jenakakan sebagai permainan angan-angan, aku hilang tujuan menulis tentang ketentuan yang ditulis Tuhan. Sedang aku sendiri tahu, bait-bait tulisan aku itu adalah untuk aku sendiri. Untuk aku terus mendakap rasa bersyukur atas setiap bait-bait tulisan yang telah Dia tuliskan buat aku. Catatan tentang yang perlu aku kerjakan, coretan dari yang telah aku kerjakan dan tulisan untuk mengingatkan aku untuk terus mengerjakan apa yang sedang aku kerjakan.
Ikhlas menulis lagi. Aku lari dari hati yang menghasut, mencungap nafas nikmat Illahi. Dan jika kau masih membaca tulisan ini, aku harap kau juga ikut berlari, bersama mencari abadi yang telah dijanji Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

Yang Maha Menghitung Segala Sesuatu, untuk dosa pahala yang takkan sedetik terlepas kira, tambahkanlah rasa gentar padaMu ke dalam jiwa-jiwa yang dahaga. Yang Maha Mengetahui, Kau lebih arif rasa aku walau berlapis-lapis rasa keliru yang menutup jiwa. Ikhlaskan ya Rabb. Semoga yang ditulis dan dibaca dan diulang baca ini, mengajar jiwa akan rasa redha dan bersyukur atas nikmat besar atau sekelumit cuma.

"Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh (dari kalangan penyair-penyair itu), dan mereka pula mengingati Allah banyak-banyak, serta mereka membela diri sesudah mereka dianiaya. Dan (ingatlah), orang-orang yang melakukan sebarang kezaliman, akan mengetahui kelak, ke tempat mana, mereka akan kembali."
*Asy-Syu'araa' (Para Penyair) (227)