tinggal kecewa

Tuhan mahu aku rasa
Dan jika yang tinggal cuma kecewa
Aku masih mahu rasa.

Sekurangnya,
Aku mampu rasa hidup
dengan kecewa yang tinggal.

genggam

Ia duri tajam
Masih erat digenggam.

Digenggam
biar setiap cubaan mengerat
Menyakitkan.

Digenggam,
kerana pada realitinya
duri tajam itu pasti mencucuk
biar terletak indah.

Lelah.

Duri itu dihidupkan
Mempekak bisu pedih rasa.

Masih menggengam.

rindu

Apa yang sempurna
Dari celanya cerita kita
Adalah rindu.

Padanya
Aku himpun kembali cerita
Tentang manisnya.
Aku lupa segala cerita
Tentang pedihnya.

Rindu
Padanya ada kamu
Acap kali menjengah malam dingin
Yang sering aku tunggu.

masih kamu

Masih kamu,
Yang bawa debar dalam hati.

Masih
Wajah kamu
Mata kamu
Senyum kamu
Beri rasa pedih
Tentang pilihan untuk bahagia
Yang menyakitkan.

Masih kamu
Biar hari ini cuma tinggal aku.

satu buku

Dalam satu buku
Di mana
Atas setiap helaian itu
Tertulis.

Semua yang bermula
Tentang kamu
Dengan kamu
Untuk kamu.

Tertutup.

Semua yang berakhir
Tentang kamu
Pada kamu
Untuk kamu.

Dalam satu buku
Aku ragu
Tentang hak menulis lagi
Perihal kamu.

gila gila

Pada aku
Bukan sahaja tentang apa
Tapi juga tentang siapa

Setiap calar
Tak semua aku khabarkan
Setiap torehan
Tak semua aku ubatkan
Kerana pada luka luka itu
Ternanah pengajaran
Jadi aku diamkan.

Cukup cerita
Yang hitam
Tidak mahu aku alirkan
Meniti bibir hitam.

Biar terkandung dalam hati
Sebuah kolam hitam.

gila

Di setiap celah hati aku
Ada aku sorokkan cerita
Tentang derita
Tak pernah terluahkan.

Yang terkilan
Tentang yang disembunyikan
Bila dalam kepala
Tercampur adukkan.

Kecelaruan dan kegilaan
Ketakutan yang digigilkan
Terhadap apa yang dihadapan.

Cuma pasti masih
Tagih simpati cinta Tuhan.