Kau bayang-bayang

Kau bayang-bayang
Antara cahaya dan kegelapan, wujud kau di antara keduanya. Dan seperti hari-hari kebiasaan, memilih di antara dua itu bagi aku sukar. Kerana di antara dua itu, telah ditulis Dia akan satu yang bakal aku punya. Masih, keliru aku pada satu lagi cerita yang tak mungkin aku tahu kesudahannya. Keliru aku antara cerita mana yang lebih sempurna penamatnya. Keliru aku untuk memilih satu yang sudah ditulis Dia.

Kau bayang-bayang
Ceritanya masih di antara dua itu lagi.
Kerana realiti, aku sendiri berlari kejar apa yang tak mampu dimiliki.
Sedang fantasi, yang tak mampu dimiliki itu buat aku senyum lagi.

Si gila dan sebatang rokok itu.

Senja menjengah lagi sedang si gila dan rokoknya itu masih di situ. Setia mendongak paling hampir dengan matahari meminta dicucuhkan api. Yang mustahil adalah pada pandangan mata-mata keji manusia yang memerhati. Yang logik itu ada dalam fikiran si gila bersama rokoknya tadi. Petang itu, matahari terbenam bersama waras seorang lelaki. Dan seperti senja-senja sebelum ini, rokoknya belum pernah tercucuh lagi.

Jiwa Dahaga

"Aku suka kau, bunyinya bodoh. Aku bodoh." Tulisan itu lama terhenti. Yang si gila itu sedar adalah kebodohan dirinya sendiri dan beban yang senang singgah menginap ruang sempit jiwanya.

Seperti cita-citanya mahu tinggal di atas awan sewaktu melihat sekelompok kapas putih yang berarak tenang menghias langit biru, dia sedar cita-citanya cuma angan-angan palsu. Jiwanya rebah, dia sedar hakikat pilu yang menikam, yang memburu setiap bucu jiwanya ketika kelompok awan itu berarak hilang, membongkar hodohnya sebuah kebenaran dan dirinya yang membungkam kesedihan. Tulisan bodoh itu dipadam tulis.

Si gila mengharapkan resah jiwanya pergi, tulisan bodoh itu dia tulis kembali. Walaupun dia sedar katanya tidak bernilai harga, masih digadai jiwa yang berbaki sisa. Pedihnya Suria yang menikam mata ibarat kenyataan pahit yang ditelan jiwa kosongnya. Diteguk.
Cawan harapannya kembali kosong.
Jiwanya masih dahaga.

Mimpi kerinduan

Si gila terjaga, dia bangkit dari mimpi kerinduan. Yang menyimbah ke muka adalah kenyataan yang masih dia kemam. Masih belum dia telan.
Si gila kembali pejam, cuba memimpikan rindu yang sudah hilang. Tapi yang singgah membuai cuma mimpi ngeri dia tiap kali. Menerajang dirinya untuk bangun dan memaksa dia telan apa yang seharusnya dia telan. Segumpal pahit kenyataan.
Manis pengharapan itu adalah pahit kenyataan yang belum dia telan. Dan nanti, samada dia telan, tersedak dan hadam atau dia telan, tercekik dan mampos !

gila mengira

Kau sendiri yang kira dosa-dosa, kau sendiri yang jumlah dosa-dosa, kau sendiri yang melabel diri pendosa.
Untuk apa?
Apakah yang kau kira-kira itu mengaut pahala? Apakah yang kau jumlah itu menghapus dosa? Apakah label sang pendosa itu akan bawa kau ke syurga?

Si gila itu termenung lagi, dia kira dosa-dosanya. Jumlahnya dia timbang dengan pahala. Berat sebelah. Dia keluar mencari pahala. Sedang seorang lelaki waras yang menimbang dan punya jumlah yang sama juga terus keluar mencari dosa.

Dan mereka akhirnya nanti berjumpa Tuhan yang sama, menghitung yang sebenar dan seadilnya

Bersampul.


Bersampul.
dalamnya cuma surat yang ditulis hati kerana perasaan, isinya cuma tulisan-tulisan yang tidak kesampaian, tersiratnya cuma harapan tentang soalan yang disorok simpan. 

Pernah waktu kecil aku terbangun resah dengan satu soalan. satu soalan yang sebenarnya ketika itu aku pasti cuma mampu dijawab tuhan. soalan tentang "di mana akhirnya abadi sebuah kehidupan?" dalam ketakutan emak menenangkan, katanya "kalau kita gembira di sana, tidak akan berbangkit soal tentang kita yang bakal hidup entah berapa lama". 
masih, yang menenangkan aku itu bukan jawapan.

dan aku masih dengan soalan-soalan yang disampulkan, 
tentang kebahagiaan membutakan serta abadi sebuah kehidupan,
soalan-soalan yang disampulkan,
antara pertanyaan untuk kau dan tuhan.

aku sudah

pada cerita semalam
sudah
lelah pada jiwanya
dihembus seribu rasa
melepas sesak pada sepi malam kelabunya

aku sudah
kata sendiri
tapi pada hati
yang diludah sebenarnya belum diluah
masih
dan hanya kerana
aku sudah
meludah yang diluah.