gila mengira

Kau sendiri yang kira dosa-dosa, kau sendiri yang jumlah dosa-dosa, kau sendiri yang melabel diri pendosa.
Untuk apa?
Apakah yang kau kira-kira itu mengaut pahala? Apakah yang kau jumlah itu menghapus dosa? Apakah label sang pendosa itu akan bawa kau ke syurga?

Si gila itu termenung lagi, dia kira dosa-dosanya. Jumlahnya dia timbang dengan pahala. Berat sebelah. Dia keluar mencari pahala. Sedang seorang lelaki waras yang menimbang dan punya jumlah yang sama juga terus keluar mencari dosa.

Dan mereka akhirnya nanti berjumpa Tuhan yang sama, menghitung yang sebenar dan seadilnya

Bersampul.


Bersampul.
dalamnya cuma surat yang ditulis hati kerana perasaan, isinya cuma tulisan-tulisan yang tidak kesampaian, tersiratnya cuma harapan tentang soalan yang disorok simpan. 

Pernah waktu kecil aku terbangun resah dengan satu soalan. satu soalan yang sebenarnya ketika itu aku pasti cuma mampu dijawab tuhan. soalan tentang "di mana akhirnya abadi sebuah kehidupan?" dalam ketakutan emak menenangkan, katanya "kalau kita gembira di sana, tidak akan berbangkit soal tentang kita yang bakal hidup entah berapa lama". 
masih, yang menenangkan aku itu bukan jawapan.

dan aku masih dengan soalan-soalan yang disampulkan, 
tentang kebahagiaan membutakan serta abadi sebuah kehidupan,
soalan-soalan yang disampulkan,
antara pertanyaan untuk kau dan tuhan.

aku sudah

pada cerita semalam
sudah
lelah pada jiwanya
dihembus seribu rasa
melepas sesak pada sepi malam kelabunya

aku sudah
kata sendiri
tapi pada hati
yang diludah sebenarnya belum diluah
masih
dan hanya kerana
aku sudah
meludah yang diluah.

tersandar sendiri

demam aku kebah lagi
dan seperti mimpi-mimpi tadi
masih kau

untuk kau
dan mimpi-mimpi yang tak sempurna
maaf

di sudut paling hujung
aku tersandar sendiri
menggulung daun mati
membakar mimpi siang tadi.

buat malam, bunuh jiwa aku lagi

malam tak pernah gagal bunuh jiwa aku
apa hidup yang dirasa mati

seperti malam
bila tiba matahari
jiwa aku bangkit lagi
merangkak bawah terik matahari
cuba untuk hidup sehari lagi

tak seperti malam
aku akan pergi
jiwa aku akan dituntut kembali
bila askar mautNya di depan pintu bediri
jasad ini akan kaku sepi

jadi buat malam
bunuh jiwa aku lagi
supaya aku sedar
aku akan mati nanti.

tanam

kebarangkalian
aku tertanya
adapun dalam hati kau itu
pernahkah terdetik bahawa cerita-cerita semalam
tergadai disebabkan aku?

dan jika kebarangkalian jawapan kau adalah
ya
dan ya
biarlah dalam hati kau
aku yang menjadi penggadai cerita-cerita kita
kerana di akhir setiap ceritera
perlu ada penyebab dan punya sebab

tertanya aku bukan untuk jawapan
kebarangkalian terdetik cuma
kerana untuk kedua duanya
penyebab
iaitu aku
dan sebab
iaitu aku
-----------
lalu tanamlah
semoga semuanya tenang.

maaf.

tersidai jiwanya

seperti awan
yang tergantung di udara
pada hati
yang tergantung jiwanya

pada malam
cebisan cerita dia menikam lebih dalam
kerana pada dia
musuhnya cuma pada malam yang tak terpejam
mengundang kesepian yang merejam cerita semalam
dan
pada siang
rindunya cuma mencari malam
kerana pada dia
kekasihnya cuma pada malam yang tak terpejam
menelanjang rindu pada cerita yang direjam semalam.

seperti awan
tergantung tanpa begantung pada apa-apa
tersidai jiwanya.