Langit yang sama

Aku masih di bawah langit yang sama. Kerana walau jauh mana aku berlari, awan itu masih berbentuk kamu. Aku masih pelarian, mengejar dan dikejar langit.  Dan bila malam hadir menelan, kepulan awan yang berbentuk berserakan. Menghancurkan kamu. Yang kemudian esoknya bersatu menghujani aku.

Lemas

Tulisan dan kata-kata yang dibunga-bunga aku masih berpena luka. Luka yang melemaskan aku setiap kali terjun untuk cuba ke dasar. Ianya satu kebodohan, kerana yang memilih untuk terjun masih aku.
Dan aku masih terus memilih untuk terjun, kerana semakin aku menyelam di dalam luka, semakin mudah untuk aku menampal retak yang merekah di dada.
Cuma kadang aku lemas

Yang Maha Pemurah.

Pernah ketika kecil, waktu aku melihat basikal tua ayah di celah deretan panjang motor, aku tertanya tentang adilnya tuhan.
Pernah ketika kecil, waktu aku lihat seorang budak kecil selesa tidur di dalam kereta sewaktu aku membonceng motorsikal buruk ayah bersama emak, abang dan kakak, aku tertanya tentang keadilan sebuah kehidupan.
Sedang aku muda, aku lihat lebih banyak yang tidak adilnya.
Tapi aku sudah untuk bertanya dan membanding apa yang diberi oleh Dia. Adilnya hidup bukan dari apa yang dipandang mata, tapi dari yang ditetapkan Dia. Yang Maha Adil. Nikmat yang sebesar zarah darah kau juga sudah beruntung kira, apatah lagi yang Dia bentangkan yang di depan mata. Kerana untuk melihat nilai sebuah nikmat itu kau perlukan mata dan hati yang sentiasa percaya pada ketentuan. Percaya qada dan qadarnya.
Bersyukur untuk setiap apa yang kau punya, kerana untuk terus tenang hidup sebagai manusia yang zahirnya dicipta untuk diuji, kau harus redha. Itu yang ditulis Dia. Untuk setiap kesulitan itu disusuli kemudahan. Dan untuk setiap kesulitan itu disusuli kemudahan. Diulang ayat yang diberita itu untuk sang hamba percaya bakal nikmat buat sulit yang dihadapinya. Yang Maha Pemurah.

Ironinya.

Waktu kecil, aku bayangkan awan itu bagai gula-gula kapas, lembut, cukup lembut untuk aku berbaring dan tidur di atasnya. Aku rindukan imaginasi, kerana realiti tidak terlakar seindah mimpi. Awan yang berarak, cumalah kepulan asap putih, yang terlalu lembut untuk aku berbaring dan tidur di atasnya. Kerana hodoh realiti cuma akan membiarkan aku jatuh menghempas tanah yang sudah cukup keras untuk berbaring. Ironinya, aku masih mahu berbaring di atas kepulan awan.
Masih, impian itu terus terpaut, bergantung bersama-sama harapan dan kepulan-kepulan awan. Aku rindukan zaman kecil, saat aku tidak dibebani kerisauan, saat aku cuma meraikan kenakalan dan saat aku masih belum diterajang kenyataan yang menyenakkan.
Sementara, kerana aku perlu terus berjalan dan kerana hidup ini cuma persinggahan, aku belajar untuk tabah memandang kedewasaan. Kerana yang akan menitis dari kepulan-kepulan awan gelap dan hitam kerana kekecewaan itu nanti adalah keringat berharga kemenangan. Aku yang sedang berbaring di atas tanah masih memandang awan. Ironinya.