gila mengira

Kau sendiri yang kira dosa-dosa, kau sendiri yang jumlah dosa-dosa, kau sendiri yang melabel diri pendosa.
Untuk apa?
Apakah yang kau kira-kira itu mengaut pahala? Apakah yang kau jumlah itu menghapus dosa? Apakah label sang pendosa itu akan bawa kau ke syurga?

Si gila itu termenung lagi, dia kira dosa-dosanya. Jumlahnya dia timbang dengan pahala. Berat sebelah. Dia keluar mencari pahala. Sedang seorang lelaki waras yang menimbang dan punya jumlah yang sama juga terus keluar mencari dosa.

Dan mereka akhirnya nanti berjumpa Tuhan yang sama, menghitung yang sebenar dan seadilnya

Bersampul.


Bersampul.
dalamnya cuma surat yang ditulis hati kerana perasaan, isinya cuma tulisan-tulisan yang tidak kesampaian, tersiratnya cuma harapan tentang soalan yang disorok simpan. 

Pernah waktu kecil aku terbangun resah dengan satu soalan. satu soalan yang sebenarnya ketika itu aku pasti cuma mampu dijawab tuhan. soalan tentang "di mana akhirnya abadi sebuah kehidupan?" dalam ketakutan emak menenangkan, katanya "kalau kita gembira di sana, tidak akan berbangkit soal tentang kita yang bakal hidup entah berapa lama". 
masih, yang menenangkan aku itu bukan jawapan.

dan aku masih dengan soalan-soalan yang disampulkan, 
tentang kebahagiaan membutakan serta abadi sebuah kehidupan,
soalan-soalan yang disampulkan,
antara pertanyaan untuk kau dan tuhan.

aku sudah

pada cerita semalam
sudah
lelah pada jiwanya
dihembus seribu rasa
melepas sesak pada sepi malam kelabunya

aku sudah
kata sendiri
tapi pada hati
yang diludah sebenarnya belum diluah
masih
dan hanya kerana
aku sudah
meludah yang diluah.

tersandar sendiri

demam aku kebah lagi
dan seperti mimpi-mimpi tadi
masih kau

untuk kau
dan mimpi-mimpi yang tak sempurna
maaf

di sudut paling hujung
aku tersandar sendiri
menggulung daun mati
membakar mimpi siang tadi.

buat malam, bunuh jiwa aku lagi

malam tak pernah gagal bunuh jiwa aku
apa hidup yang dirasa mati

seperti malam
bila tiba matahari
jiwa aku bangkit lagi
merangkak bawah terik matahari
cuba untuk hidup sehari lagi

tak seperti malam
aku akan pergi
jiwa aku akan dituntut kembali
bila askar mautNya di depan pintu bediri
jasad ini akan kaku sepi

jadi buat malam
bunuh jiwa aku lagi
supaya aku sedar
aku akan mati nanti.

tanam

kebarangkalian
aku tertanya
adapun dalam hati kau itu
pernahkah terdetik bahawa cerita-cerita semalam
tergadai disebabkan aku?

dan jika kebarangkalian jawapan kau adalah
ya
dan ya
biarlah dalam hati kau
aku yang menjadi penggadai cerita-cerita kita
kerana di akhir setiap ceritera
perlu ada penyebab dan punya sebab

tertanya aku bukan untuk jawapan
kebarangkalian terdetik cuma
kerana untuk kedua duanya
penyebab
iaitu aku
dan sebab
iaitu aku
-----------
lalu tanamlah
semoga semuanya tenang.

maaf.

tersidai jiwanya

seperti awan
yang tergantung di udara
pada hati
yang tergantung jiwanya

pada malam
cebisan cerita dia menikam lebih dalam
kerana pada dia
musuhnya cuma pada malam yang tak terpejam
mengundang kesepian yang merejam cerita semalam
dan
pada siang
rindunya cuma mencari malam
kerana pada dia
kekasihnya cuma pada malam yang tak terpejam
menelanjang rindu pada cerita yang direjam semalam.

seperti awan
tergantung tanpa begantung pada apa-apa
tersidai jiwanya.

mencari bagi memahami

malam
dan seperti malam-malam biasa, aku larut dalam fikiran sendiri. antara seribu satu persoalan aku tentang hidup, adalah tentang apa yang aku mahu dan apa yang aku perlu.

yang menerajang singgah adalah persoalan-persoalan tentang siapa aku, tentang apa yang aku mahu buat dan mahu laku. yang menjadi isi bual utama aku, adalah tentang aku dan apa yang aku mahu.

antara satu
hidup ini cuma sekali, kejar apa yang aku mahu dalam hidup yang sekali sahaja ini. hujung sudut hati aku kosong, yang terbiar cuma akal yang menggila minta disuap logik dalam olahan cerita yang aku sendiri tak percaya. pada harapan yang serupa mimpi, aku bertanya pada hati sendiri.

atau dua
hidup ini cuma sekali, kejar apa yang aku perlu dalam hidup yang sekali ini sahaja untuk tagih nikmat Dia yang mengalir sungai-sungai di bawahnya. yang terbiar cuma kemahuan yang menggila minta disuap cerita agar hujung sudutnya tidak kosong. pada harapan untuk yang abadi, aku gusar jika aku di antara mereka yang meminta dihidupkan sekali lagi.

aku dan fikiran aku lagi, mencari bagi memahami.

Tuhan,
apakah haloba seorang aku jika aku mahu punya keduanya?

Kau Maha Mengetahui
Kau Lebih Memahami.

seperti hujan

seperti hujan
walau selebat mana ia turun
dengan perintah tuhan ia akan berhenti

yang kemarau
tanah tumpahnya darahku
kacau bilau
susah kau jadi kedana
bila pemimpin sendiri mahu duit bergaya
dan benarlah sabda Baginda yang Mulia
manusia akhir zaman yang jahil akan mengangkat pemimpin 
yang tiada walau sekelumit iman
dalam jiwa jahilnya
yang padanya cuma harta menenang jiwa
tanpa peduli halal haramnya
yang bicaranya bercabang dua
meletakkan sesuatu tidak pada haknya
maka celakalah !

seperti hujan
walau celaka mana perangai seorang manusia
walau sekejam mana pemimpin kepada rakyatnya
dengan perintah tuhan ia akan berhenti
doa dan usaha bersama peluh keringat keting besi
Malaysiaku !!
anak bangsamu masih mahu hidup lagi.
Ya Rabb,
Kau Maha Mengetahui.

rahsianya

entah
rahsianya pada aku
dalam kebas direjam hidup
nadi ini masih mahu berdenyut.

keluh hati
bisunya pada cerita diri
terkapai lemas dalam khayal sendiri
dan ya
walaupun tiada gunanya kaki
aku masih mahu berdiri.

alhamdulillah
setiapnya punya erti.

di celahnya berdiri

gelap
dalam kamar kecil
sendiri.

gelap
dalam kubur sempit
mati.

gelap,
dalam,
sendiri,
dan mati

serta pada malam
yang sering lari
membawa waras si gila pergi
di celahnya berdiri
lelaki yang hidupnya cuma mati.

perlahan mati

perlahan
aku faham hidup

perlahan
aku rai mati

pada hidup yang aku fahamkan
cuma mati yang aku raikan

mati
itu satu cerita lagi
subhanallah
ia cerita yang pasti
tentang ke mana kita akan pergi
justeru
untuk mati yang dirai
semoga berbeza dari hidup yang difahami.

sebab jiwa penyebab

-------
kosong

otak
meyebabkan
jiwa 
menyebabkan
perut

kosong
-------

dibaca-
atas ke bawah
atau-
bawah ke atas
masih-
tengahnya diam bersalah.

bukan

Entah
Gundahnya bukan pada bakal hilangnya kalian
Risaunya bukan pada bakal lenyapnya kita
Khuatirnya cuma pada memori memori celaka
Yang akan buat aku ingat 
pada kita

Dan yang celakanya memori itu pula
Jatuh pada aku
yang tak mampu buat apa apa

Jadi
Cuma mampu hargai yang masih ada
Sedang hidup beroda
Kita tak selamanya bersama
Dan untuk semua
Aku semat doa

Semoga sahaja

tinggal untukNya

Hatinya seluas alam,
cuma dalam tak diselam.
Jiwanya sekecil genggam,
cuma luas hitam legam.
Cintanya selebar dua,
hanya untuk tuhan dan ibunya.

Tinggal dirinya untukNya.

sunyi dan sendiri

"bezanya di situ"
kata mereka

antara sunyi dan sendiri itu
aku keliru
mencari beza tentang apa yang sedang aku rasa

"serupa sahaja itu"
kata mereka

antara sunyi dan sendiri itu
aku buntu
menghimpun serupa tentang apa yang sedang aku rasa

sunyi dan sendiri itu
dalam aku
ada beza yang serupa

kejar mengejar

Bayangkan, masa depan adalah kematian.
Bermakna apa yang kau kejar sedang mengejar kau.
Dan suatu masa,
samada kau dapat apa yang kau kejar atau apa yang mengejar dapat kau.

Pilihan,
mana lebih berbaloi.
Ditelan yang mengejar atau menelan yang dikejar.
Abadi

dilepas terlepas

aku masih kurang pasti
antara yang terlepas
atau yang dilepas

mungkin
aku terlepas apa yang dilepas
atau
dilepas apa yang terlepas

yang pasti
apa yang terlepas atau dilepas
sudah pergi

apa yang masih tersisa
itu untuk aku sendiri
memori yang takkan pernah mati.

bunuh entah menyakitkan

entah
aku dah tak mahu rasa lagi
yang membunuh

entah
aku mahu rasa lagi
yang menyakitkan

entah
yang menyakitkan itu
kadang bagai membunuh
tapi
setiap kali itu
aku bangkit
untuk sebab
yang bukan untuk kau faham

justeru
bagaimana lagi
untuk aku tidak merasa
selain dari terbunuh?

kosong

kosong
otak aku
penuh dengan kekosongan

kosong
hati aku
sesak dengan kekosongan

kosong
jiwa aku
penuh sesak tidak berisi

dan antara perlu atau tidak
serta antara hati atau otak
aku ragu memilih
antara perlunya jiwa
diisi kekosongan
atau
dibiar kekosongan

lelah

Bayangkan,
jika kau cuma dicerita tentang penamat
tanpa pernah sekali pun kau nampak
di mana dan bagaimana.

Lelah
Itu mati.

Kau tinggalkan cerita-cerita yang tiada sangkal benarnya
Kau berhenti mengejar
menari di laluan.

Yang nanti berlari, adalah mereka yang berhenti dan menari.

Lelah
Itu hidup.

Kau kejar cerita-cerita yang kau tidak nampak
Kau mencungap lagi
terus berlari.

Yang nanti berehat, adalah mereka yang mati mengejar.

sempurna

Kau tak perlu sempurna
untuk jadi sempurna
Kerana yang sempurna itu cuma Dia.
Jadi apa kau cari atas dunia?

Menjadi yang sempurna itu cukup
bila kau redha dengan yang berlaku
Menerima dan meletakkan percaya
untuk Dia yang sempurna.

biar tercela
asal kau sempurna
-- Sempurna yang tercela

Semoga sahaja.

sedang lari

risau
yang nanti bila akan tiada yang ada
akan terasa
gelora jiwa
menghempas pintu waras
tertutup
terkunci dibuang
gila

setiap rasa membunuh
membuihkan api kebencian
setiap cerita dibunuh
melenyapkan rindu kemanisan

tiada lagi
ia ditutup berkunci
entah bila terbuka lagi
yang pasti
aku sedang lari
membawa kunci

paling dalam

paling dalam letaknya
adalah hal-hal
yang padanya dan setiapnya untuk kamu

untuk hal-hal dibisukan
untuk apa dan demi apa
tempat letaknya juga
paling dalam

paling dalam yang cuma aku mampu selam.

itu untuk kamu

tak tahu
antara ada atau tiada bezanya
aku keliru

mungkin
antara tahu atau tidak tahu
bezanya di situ

antara ada atau tiada bezanya
itu untuk kamu.

kau tak kenal?

bayangkan
kau sebenarnya tak kenal mereka yang kau kenal.

topeng-topeng itu
dipamer rupa dicipta
melindung yang sebenarnya

dan untuk setiap hal
yang memaksa kau memakai topeng itu
punya sangsi dan benci aku padanya
sedang aku sendiri
terlupa rupa sebenar diri.

merai kita

ini untuk kau
yang meminta

dari yang pernah
ada celakanya aku
pada kau
maaf.

tapi
untuk setiap yang pernah
antara kau dan aku
itu memori
yang letaknya abadi
sebelum mati
tentang kita
untuk dirai.

-AK

tanpa

untuk janji-janji yang aku mungkiri
maaf
tapi untuk yang lebih sempurna buat kamu
biarlah hati dimakan sendiri

bicara lidah aku
bahasa bukan cara termudah
untuk yang jujur
aku harap mampu ditunjuk hati
dan antara tanpa atau tidak
persoalannya aku bawa.

masih terasa

apa yang dahulu
masih punya rasa
apa yang dahulu
masih seperti semalam

yang menyala masih belum terpadam meski makin sayu.

dari setiap yang pernah berlaku
masih dan selamanya akan terus dibuku
yang bila nanti di muka terakhir
harapnya masih ada kamu.

barangkali-pasti

barangkali
apa yang kau suka
bukan untuk kau

barangkali
apa yang bukan untuk kau
kau akan suka

barangkali
apa yang kau benci
adalah untuk kau

barangkali
apa yang untuk kau
kau tidak suka

Tuhan lebih mengetahui
pasti.