Cerita Orang Minoriti

Ini entry yang aku tulis secara membabi buta. Sila buka mata.

Aku melihat golongan-golongan yang kononnya berkolar biru bergaduh mempermainkan bab agama. Ideologi dan kuasa yang lebih penting dari nilai agama itu sendiri membuatkan dua pihak bertelagah sedangkan pihak ketiga sibuk pecah perut ketawa melihat bodohnya mereka. Mempersendakan hal sensitif asal kepentingan dan tujuan tercapai. Hilang semua kesepakatan, hilang semua persaudaraan dan hilang semua pegangan.

Aku cuma melihat hal ini dalam konteks agama. Kenapa perlu bergaduh sedangkan agama Islam tertulis pada sekeping kad kecil berwarna biru pada kad kedua-dua pihak. Kenapa perlu mempermainkan hal sensitif semata-mata hendak mencapai kesenangan dunia. Kalau hal lain yang dipergaduhkan memang aku tak mahu ambil kisah. Hal-hal politik ini semua aku malas nak campur sebab cerita yang menggunakan air liur ni bukan semua boleh pakai. Sembur sana,ludah sini,tabur macam-macam janji,cukup bulan orang yang dengar basah dengan air liur dengan sisa makanan yang terlekat dekat celah gigi.

Tak perlu sampai nak memperburukkan saudara sendiri. Semua sudah kena main dengan tipu helah pihak ketiga yang memang sibuk nak pecah belahkan kita. Islam sama islam,bergaduh macam orang gila. Yang ulama diperlekehkan,yang ketua diperkecilkan. Mana semua cara hidup yang sebenar? Kenapa kita tak boleh singkap kisah-kisah lama. Kisah bagaimana nak selesaikan masalah-masalah dunia. Masalah bertelagah tentang isu penggunaan kalimah Allah ini terutamanya. Bukankah kita ada majlis syura yang dari dulu memang berkesan penggunaannya. Kenapa tak tahu nak guna. Duduk satu meja bulat kedai kopi tepi kampung pun dah cukup,janji orang-orang penting boleh datang. Bukan sibuk nak cari salah pihak satu lagi,bukan sibuk kutuk pihak satu lagi dan bukan sibuk carutkan pihak satu lagi.

Sama-sama kena sedar sendiri. Aku golongan minoriti,kerja tiap-tiap hari tunggu cukup bulan makan nasi bila dah dapat gaji. Hanya mampu tulis dekat sini sampai tiba masa diorang sedar sendiri.

putus


lepaskan
dari terus kau cincang
dan kau buang dalam longkang
semua jerit pekik dia
yang meraung meminta ihsan
dari kau yang tak pernah mempedulikan

kenapa kau masih terus siksa
hati dia yang sudah lama terluka
yang sentiasa diam tanpa bicara
demi menjaga simpul tali
yang kau sendiri ikat mati

aku sendiri sakit
melihat simpul mati itu
yang kini dipegang dia sendiri
sedang kau biar longgar
dengan kuku tajam
yang saban hari menghaluskan
tetapi tidak mahu memutuskan.

tiada lagi


kalau kau tanyakan
akan aku jawab
bahawa semua ceritera lama kita
telah luput dalam ingatan
tiada satu pun yang masih tertinggal.

tiada lagi bayang kau,
yang dulu sering menghantui aku.
tiada lagi harum tubuh kau,
yang dulu menyesakkan nafas aku.
tiada lagi gelak tawa kau,
yang dulu bagai irama untuk aku.
tiada lagi panggilan manja kau,
yang dulu menceriakan hari-hari aku.
tiada lagi sekujur tubuh kau,
yang dulu sering memangku aku.

semuanya telah aku biarkan tenggelam
aku biarkan sisa-sisa rasa aku yang dahulu lemas
aku biarkan karam tersadai di ruang sudut hati aku
telah aku biarkan mati
bersama memori memori aku
terhadap kau yang aku puja dahulu.

bebas


asap asap yang aku sedut
seakan puas dihembus keluar
membuatkan aku terfikir
bahawa semuanya tidak suka terperangkap
semuanya mahu bebas di luar
melihat corak corak dunia
mengenal manusia manusia hipokrit
dan merasa diri ditendang golongan
yang kononnya di kelas berbeza

berita jam tujuh pagi
tentang larinya banduan banduan
menampakkan satu lagi bukti
bahawa terperangkap itu menyakitkan hati.
kita semua mahu bebas
mahu bebas dalam setiap perkara yang kita buat
mahu bebas melakukan apa sahaja
mahu bebas seperti dunia ini kita yang punya.

tapi kebebasan itu punya batas
batas yang membataskan kita
dari buat perkara perkara gila
sebab batas batas
dan peraturan semuanya sudah termaktub
batas dan peraturan Dia.
batas dan peraturan Dia.
batas dan peraturan Dia.
aku ulang tiga kali
mahu semua tahu
tiada istilah peraturan kita
semuanya peraturan Dia.
peraturan Dia yang membenarkan peraturan kita.

membalas balasan


tadahan tangan aku
dengan busuk lumpur yang memeluk
yang menyentuh setiap inci tubuh
dan melekitkan di hujung kuku
menyesalkan aku tentang bayang dosa dahulu
ketika aku hanyut dalam keseronokan silam

aku terbayangkan dia
insan yang aku sayang
yang boyot perutnya dahulu
demi aku
aku yang kadang terlupa tentang cinta dia
biarpun semuanya di depan mata

tadahan tangan aku
hanya untuk dia
mengharapkan belas ihsan Dia
supaya memberikan aku kesempatan
untuk membalas apa yang tak mungkin boleh aku balas
cinta dia
sakit dia
susah dia
untuk aku
harapan aku
hanyalah untuk membalas jasa dia

yang tak bernyawa


entah kenapa
kebanyakan bahagian bahagian cerita aku
cuma tentang kekecewaan.
aku sendiri terfikir
kenapa aku lebih senang begini
lebih senang bercerita tentang kesedihan
walaupun aku punya bahagian gembira
yang jarang aku cerita.

mungkin di sini tempat aku mengadu
tempat aku melepaskan marah aku
kerana kadang aku terasa seperti sendiri
tidak tahu pada siapa mahu aku ceritakan
tentang sakit aku yang tak pernah lelah menumbuk.

mungkin juga di sini
aku tak perlu fikir tentang perasaan meluat
tentang perasaan manusia yang mungkin naik muak
mendengar cerita cerita bodoh aku.

di ruang kecil ini
aku tuliskan apa yang aku rasa
tanpa kisah tentang ada atau tidak
orang yang membaca
asalkan aku puas
dapat melepaskan dan meluahkan kecewa
pada sesuatu yang zahirnya tak bernyawa.

angan petang

memandang putihnya awan
yang sering datang
membentukkan rupa kamu
bilamana rindu aku
mengetuk pintu cerita
tentang kamu
yang tak pernah letih bergantung
di urat saraf otak aku


angan petang aku
adalah untuk berbaring di peha kamu
bercerita tentang hari hari aku
sambil memandang kamu
yang sering ikhlas menguntum senyum
dengan bibir merah mekar
menggetarkan tali jantung aku
yang sering mahukan kamu

HH

dalam aku


yang luar
gelisah aku nampak tenang
sakit di dalam yang tak pernah aku ceritakan
kerana setiap kali ditikam
aku solekkan bibir merah
membiarkan gelak paksa aku
menutup cerita yang menyakitkan

pandang orang yang tahu
bicara mereka
mengatakan aku tolol
bila setiap salah yang mereka buat
aku butakan
membiarkan diri sakit
demi hati hati mereka
yang pada aku nampak berkaca
yang tidak mahu aku pecahkan
yang mahu aku jaga
dari sakit seperti yang aku rasa

aku bukan meminta simpati
menadah tangan kosong
menanti jatuhnya air mata
aku cuma mahu bercerita
tentang sakit yang tak mampu aku bicarakan
bilamana jemari aku
lebih berani mengatakan yang benar

lena


maaf
aku terlena lama
dalam gelap yang menakutkan
dalam dunia yang aku sendiri tak pasti di mana
dan entah bila aku tersedar
dengan rasa takut
tentang sesuatu yang aku sendiri tak pasti mengapa
tapi pengalaman gelap itu
buat aku faham
bahawa dunia aku
tak sama seperti dunia mereka

aku lena terlalu lama
hingga aku rasa
mati itu bisa buat aku gembira
membuat dunia itu bagi aku bukan apa apa
membuat aku terfikir sendiri
bahawa dunia itu
bukan tempat untuk manusia macam aku
manusia seperti aku yang sering takut dengan bayang sendiri

mendung

aku tak punya mulut petah
untuk menceritakan hari-hari aku
tapi dengan kau
aku bisa patahkan lidah besi
membiarkan ia bercerita
tentang sakitnya sekeping hati.

tapi hari hari indah
yang aku mimpi selamanya
mendung
membasahkan aku dalam lebat
bersama kotor lumpur

buat sang lidah petah bicara
mungkin ini takdir kita
mendiamkan setiap rasa rasa
yang tak mungkin difahami ceritanya.