Kabur

Kerana bertepuk sebelah tangan tidak berbunyi, aku menampar pipi sendiri. Kenyataan harapan yang aku gantung semakin jauh pergi, tinggi dan kian kabur dari pandangan aku, ibarat pesona kau yang pernah mencelikkan aku ketika aku mahu terus pejam dahulu.
Dingin rasa hati aku yang larut dalam nyaman apabila melihat pesona kau mungkin cuma pinjaman Tuhan supaya aku terus meraikan kehidupan.
Senyum, jangan biar dunia mati.

Hiruk Sepi

Di tengah hiruk kota dunia ini, aku doakan kau yang aku rindukan.
Di tengah sepi kota dunia ini, aku rindukan kau yang aku doakan.
Di tengah hiruk sepi kota dunia, dibalik hiruk sepi kota hati aku.

Cerita Bahagia

Resah menangkap minda aku yang menerawang, mencari sesalan perbuatan pada cerita semalam.
Malam ini, seperti kegelapan yang mendakap setiap kehidupan, aku mendakap kesal setiap kesalahan.
Aku akan mati, aku mahu mati, kerana itu, aku mahu pergi dengan kemaafan.
Maaf dari lidah tajam aku yang pedas bicara, maaf dari anggota aku yang terbias meliar, maaf dari diam aku yang kau salah ertikan. Maaf untuk setiap yang aku lakukan.
Benarkan aku mati dengan cerita kebahagiaan.

Peperangan Jiwa

Ramadhan, bulan penuh kemuliaan yang diraikan sederhana kedatangannya, namun disambut meriah saat perginya ia.
Berpuasa pada bulan ramadhan merupakan rukun Islam ketiga, suatu bentuk ujian kepada manusia yang mengaku sebagai hamba untuk menahan diri dari perkara-perkara yang membatalkan puasa, terutamanya dari lapar dan dahaga. Hikmah yang mengajar manusia tentang hak kekuasaan Tuhan memberi rezeki yang digenggam Dia ke atas setiap hambaNya.
Aku terkenang anak kecil Syria yang mengutip sisa roti di celah serpihan runtuhan bangunan bekas tapak rumahnya. Kelaparan perut kecil anak syurga itu jauh lebih sengsara, dahaga dan lapar diusung tanpa janji tentang tempoh waktu untuk dia menjamah rezeki seterusnya, terusung melebihi waktu dari terbitnya fajar hingga terbenam matahari, melebihi dari tempoh waktu yang telah diwajibkan ke atas setiap hamba yang berupaya untuk sebulan cuma.
Apakah lapar perut kamu sepanjang tempoh yang telah tetap itu sekosong perut si anak kecil yang masih tercari-cari rezeki di sebalik runtuhan bangunan rumahnya sendiri? Apakah upayanya kamu itu akan sebanding usaha andainya kamu terpaksa?
Bersyukurlah kerana upaya kamu tidak diuji bunyi bom atau mortar. Bersyukurlah kerana kamu masih mampu lagi memilih antara rezeki yang dilimpahkanNya. Bersyukurlah kerana kamu hanya perlu menunggu masa sebelum menjamah juadah yang tersedia. Bersyukurlah kamu masih diberi masa, kerana azab Dia tetap akan tiba, terbayar antara di sini dan di sana.
Puasa, ianya lebih dari sekadar tentang lapar dan dahaga. Ianya ujian kepada hamba untuk memerangi nafsu yang menghasut jiwa.
-1 Ramadhan 1437H.

Kopi

Aku terjaga, bangkit dari mimpi kerinduan. Yang menyimbah ke muka aku adalah kenyataan yang cuba aku endahkan.
Aku kembali pejam, cuba memimpikan rindu yang sudah hilang. Tapi yang singgah membuai cuma mimpi ngeri aku tiap kali. Menerajang aku untuk bangun dan memaksa aku telan apa yang seharusnya aku telan. Sebuah kepahitan kenyataan.
Manis pengharapan itu adalah pahit kenyataan yang belum aku telan. Dan nanti, samada aku telan, tersedak dan hadam atau aku telan, tercekik dan mampos ! Pagi ini, aku kemam pahit yang menyedarkan aku dari mimpi. Ngeri, ia ibarat kopi.