Jawapan bisu

Aku sendiri mengira peratus kebarangkalian tentang jawapan kau yang aku berikan pada tuhan. Untuk kepastian, puas sudah aku minta pesona kau pada mata ini dipejamkan, masih hati buta aku tak mahu berhenti berjalan.

Pernah aku kambus jiwa untuk tanam kenyataan bahawa tak semua soalan berjawapan. Sedang ianya cuma akan atau tidak mungkin nanti diceritakan tuhan. Dan kerana kenyataan aku itu juga satu lagi persoalan, hati buta aku masih berjalan.

Endahkan, hati buta aku yang berjalan sudah bukan kerana kekecewaan aku terhadap soalan-soalan yang dibiar tak berjawapan, tapi kerana nyaman yang aku punya walau tak nampak arah berjalan. Dan kerana tuhan selalu ada menggapai tangan aku yang rebah dalam kebutaan, aku belajar menyalin jawapan yang disimpan tuhan.

Tak mungkin layak aku benci jawapan yang dibisukan insan kalau semuanya  dijawab tuhan.

Awan harapan

Seperti awan yang tergantung tanpa begantung pada apa-apa,
disidai jiwanya.

Antara soalan dan pertanyaan, aku kembali pada tuhan. Kerana dalam aku sendiri punya soalan soalan, yang aku tanyakan pada tuhan walau aku tahu tak mungkin ada bicara jawapan. Masih, kadang bukan pada bicara yang aku perlukan untuk aku percaya tuhan menjawab setiap persoalan.
Justeru, buat pertanyaan untuk insan, biarlah jika ia digantung tuhan.
Harapan, teruslah kau bergantung awan.

Tenang sungai

Si gila itu merenung tenangnya air sungai yang mengalir, mengharapkan hatinya juga begitu.
Dan seperti ikan-ikan, kau berenang dalam sungai yang si gila itu lihat tenang.

Buat yang membenar dan mengarahkan setiap aliran,
Dia tahu setiap rasa yang aku biarkan berkerak tanpa jawapan.
Dia tahu jawapan setiap ketidakpastian sedang aku masih mencari soalan.
Dia menenangkan ligat resah ketidakpastian setiap soalan perasaan.

Andai cuma harapan yang aku sampulkan dalam hati untuk kau ini adalah yang dituliskan kepada aku oleh Tuhan, semoga nanti bisa kau bacakan.
Aku tak akan mungkin marah pada Tuhan, kalau kau bukan.

Kau bayang-bayang

Kau bayang-bayang
Antara cahaya dan kegelapan, wujud kau di antara keduanya. Dan seperti hari-hari kebiasaan, memilih di antara dua itu bagi aku sukar. Kerana di antara dua itu, telah ditulis Dia akan satu yang bakal aku punya. Masih, keliru aku pada satu lagi cerita yang tak mungkin aku tahu kesudahannya. Keliru aku antara cerita mana yang lebih sempurna penamatnya. Keliru aku untuk memilih satu yang sudah ditulis Dia.

Kau bayang-bayang
Ceritanya masih di antara dua itu lagi.
Kerana realiti, aku sendiri berlari kejar apa yang tak mampu dimiliki.
Sedang fantasi, yang tak mampu dimiliki itu buat aku senyum lagi.

Si gila dan sebatang rokok itu.

Senja menjengah lagi sedang si gila dan rokoknya itu masih di situ. Setia mendongak paling hampir dengan matahari meminta dicucuhkan api. Yang mustahil adalah pada pandangan mata-mata keji manusia yang memerhati. Yang logik itu ada dalam fikiran si gila bersama rokoknya tadi. Petang itu, matahari terbenam bersama waras seorang lelaki. Dan seperti senja-senja sebelum ini, rokoknya belum pernah tercucuh lagi.

Jiwa Dahaga

"Aku suka kau, bunyinya bodoh. Aku bodoh." Tulisan itu lama terhenti. Yang si gila itu sedar adalah kebodohan dirinya sendiri dan beban yang senang singgah menginap ruang sempit jiwanya.

Seperti cita-citanya mahu tinggal di atas awan sewaktu melihat sekelompok kapas putih yang berarak tenang menghias langit biru, dia sedar cita-citanya cuma angan-angan palsu. Jiwanya rebah, dia sedar hakikat pilu yang menikam, yang memburu setiap bucu jiwanya ketika kelompok awan itu berarak hilang, membongkar hodohnya sebuah kebenaran dan dirinya yang membungkam kesedihan. Tulisan bodoh itu dipadam tulis.

Si gila mengharapkan resah jiwanya pergi, tulisan bodoh itu dia tulis kembali. Walaupun dia sedar katanya tidak bernilai harga, masih digadai jiwa yang berbaki sisa. Pedihnya Suria yang menikam mata ibarat kenyataan pahit yang ditelan jiwa kosongnya. Diteguk.
Cawan harapannya kembali kosong.
Jiwanya masih dahaga.

Mimpi kerinduan

Si gila terjaga, dia bangkit dari mimpi kerinduan. Yang menyimbah ke muka adalah kenyataan yang masih dia kemam. Masih belum dia telan.
Si gila kembali pejam, cuba memimpikan rindu yang sudah hilang. Tapi yang singgah membuai cuma mimpi ngeri dia tiap kali. Menerajang dirinya untuk bangun dan memaksa dia telan apa yang seharusnya dia telan. Segumpal pahit kenyataan.
Manis pengharapan itu adalah pahit kenyataan yang belum dia telan. Dan nanti, samada dia telan, tersedak dan hadam atau dia telan, tercekik dan mampos !