mencari bagi memahami

malam
dan seperti malam-malam biasa, aku larut dalam fikiran sendiri. antara seribu satu persoalan aku tentang hidup, adalah tentang apa yang aku mahu dan apa yang aku perlu.

yang menerajang singgah adalah persoalan-persoalan tentang siapa aku, tentang apa yang aku mahu buat dan mahu laku. yang menjadi isi bual utama aku, adalah tentang aku dan apa yang aku mahu.

antara satu
hidup ini cuma sekali, kejar apa yang aku mahu dalam hidup yang sekali sahaja ini. hujung sudut hati aku kosong, yang terbiar cuma akal yang menggila minta disuap logik dalam olahan cerita yang aku sendiri tak percaya. pada harapan yang serupa mimpi, aku bertanya pada hati sendiri.

atau dua
hidup ini cuma sekali, kejar apa yang aku perlu dalam hidup yang sekali ini sahaja untuk tagih nikmat Dia yang mengalir sungai-sungai di bawahnya. yang terbiar cuma kemahuan yang menggila minta disuap cerita agar hujung sudutnya tidak kosong. pada harapan untuk yang abadi, aku gusar jika aku di antara mereka yang meminta dihidupkan sekali lagi.

aku dan fikiran aku lagi, mencari bagi memahami.

Tuhan,
apakah haloba seorang aku jika aku mahu punya keduanya?

Kau Maha Mengetahui
Kau Lebih Memahami.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan