Ironinya.

Waktu kecil, aku bayangkan awan itu bagai gula-gula kapas, lembut, cukup lembut untuk aku berbaring dan tidur di atasnya. Aku rindukan imaginasi, kerana realiti tidak terlakar seindah mimpi. Awan yang berarak, cumalah kepulan asap putih, yang terlalu lembut untuk aku berbaring dan tidur di atasnya. Kerana hodoh realiti cuma akan membiarkan aku jatuh menghempas tanah yang sudah cukup keras untuk berbaring. Ironinya, aku masih mahu berbaring di atas kepulan awan.
Masih, impian itu terus terpaut, bergantung bersama-sama harapan dan kepulan-kepulan awan. Aku rindukan zaman kecil, saat aku tidak dibebani kerisauan, saat aku cuma meraikan kenakalan dan saat aku masih belum diterajang kenyataan yang menyenakkan.
Sementara, kerana aku perlu terus berjalan dan kerana hidup ini cuma persinggahan, aku belajar untuk tabah memandang kedewasaan. Kerana yang akan menitis dari kepulan-kepulan awan gelap dan hitam kerana kekecewaan itu nanti adalah keringat berharga kemenangan. Aku yang sedang berbaring di atas tanah masih memandang awan. Ironinya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan