Peperangan Jiwa

Ramadhan, bulan penuh kemuliaan yang diraikan sederhana kedatangannya, namun disambut meriah saat perginya ia.
Berpuasa pada bulan ramadhan merupakan rukun Islam ketiga, suatu bentuk ujian kepada manusia yang mengaku sebagai hamba untuk menahan diri dari perkara-perkara yang membatalkan puasa, terutamanya dari lapar dan dahaga. Hikmah yang mengajar manusia tentang hak kekuasaan Tuhan memberi rezeki yang digenggam Dia ke atas setiap hambaNya.
Aku terkenang anak kecil Syria yang mengutip sisa roti di celah serpihan runtuhan bangunan bekas tapak rumahnya. Kelaparan perut kecil anak syurga itu jauh lebih sengsara, dahaga dan lapar diusung tanpa janji tentang tempoh waktu untuk dia menjamah rezeki seterusnya, terusung melebihi waktu dari terbitnya fajar hingga terbenam matahari, melebihi dari tempoh waktu yang telah diwajibkan ke atas setiap hamba yang berupaya untuk sebulan cuma.
Apakah lapar perut kamu sepanjang tempoh yang telah tetap itu sekosong perut si anak kecil yang masih tercari-cari rezeki di sebalik runtuhan bangunan rumahnya sendiri? Apakah upayanya kamu itu akan sebanding usaha andainya kamu terpaksa?
Bersyukurlah kerana upaya kamu tidak diuji bunyi bom atau mortar. Bersyukurlah kerana kamu masih mampu lagi memilih antara rezeki yang dilimpahkanNya. Bersyukurlah kerana kamu hanya perlu menunggu masa sebelum menjamah juadah yang tersedia. Bersyukurlah kamu masih diberi masa, kerana azab Dia tetap akan tiba, terbayar antara di sini dan di sana.
Puasa, ianya lebih dari sekadar tentang lapar dan dahaga. Ianya ujian kepada hamba untuk memerangi nafsu yang menghasut jiwa.
-1 Ramadhan 1437H.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan